Kerajaan Singapura menamakan spesies orkid hibrid sempena nama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sempena lawatan rasmi mereka ke republik itu.

Dinamakan 'Dendrobium Mahathir Siti Hasmah', bunga orkid itu mempunyai kelopak yang berpintal selain bercirikan warna mahogani.

Dibahagian bawah bungan tersebut berwarna coklat kemerahan dengan margin putih dan dihujungnya pula berwarna ungu.

Orkid Dendrobium Mahathir Siti Hasmah - Astro AWANI/Harits Asyraf Hasnan

Tumbuhan itu tumbuh menegak sehingga 38cm dengan sekitar 14 hingga 20 kuntum setiap pokok, dengan kelebaran 5cm bagi setiap bunga.

.
Majlis penamaan orkid itu disaksikan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan isteri, Ho Ching di The Istana hari ini.

Menerusi ciri-ciri bunga berpintal, ia memberi gambaran bahawa kedua-dua negara tidak pernah lekang isu-isu kontroversi, namun hubungan yang sekian lama terjalin itu tetap utuh sehingga hari ini.

Singapura mempunyai tradisi menanam pokok spesis orkid, iaitu bunga kebangsaan republik itu dan dinamakan sempena lawatan selebriti mahupun kenamaan ke negara itu.

Pada tahun 2009, Singapura turut menamakan hibrid Dendrobium Najib Rosmah selepas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor melawat negara itu.