Singapura menyatakan pada Selasa bahawa ia tidak berminat untuk mengkaji semula harga air di bawah perjanjian yang ditandatangani dengan Malaysia pada 1962.

Kementerian Hal Ehwal Luar republik itu berkata dalam satu kenyataan bahawa kajian semula itu sepatutnya dilakukan pada 1987, iaitu 20 tahun selepas perjanjian ditandatangani sepertimana yang termaktub dalam perjanjian.

"Kedudukan ini dinyatakan dalam kenyataan Parlimen oleh Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan pada 9 Julai 9, 2018," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena lawatan rasmi Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah ke Singapura.

Dalam temu ramah dengan Bernama pada Isnin, Saifuddin berkata beliau telah menggariskan fakta bahawa mungkin ada kajian semula seperti yang dinyatakan dalam perjanjian.

"Terdapat klausa dalam perjanjian itu mengenai kajian semula yang sudah tentu kita lihat," katanya sambil menambah bahawa beliau difahamkan Singapura mempunyai perspektif mereka sendiri.

"Sudah tentu kita akan terus berbincang. Perjanjian itu menyebut bahawa kandungan perjanjian boleh dikaji semula selepas 25 tahun. Ia tidak bermaksud pada 25 tahun ... jadi kita boleh terus berbincang," kata Saifuddin.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah melahirkan ketidakpuasan hatinya terhadap perjanjian itu yang tidak menguntungkan Malaysia dan mahu berunding semula

-- BERNAMA