Singapura mengulangi bahawa perairan wilayahnya memang menganjur ke barat had pelabuhan semasa sekitar Tuas, menurut jurucakap Kementerian Pengangkutan republik itu.

Oleh yang demikian, jurucakap itu berkata, peluasan had pelabuhan Johor Bahru menceroboh kawasan perairan Singapura di kawasan tersebut dan merupakan pencabulan serius terhadap kedaulatan Singapura dan undang-undang antarabangsa.

Satu kenyataan dikeluarkan di sini pada Rabu sebagai respon kepada Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa peluasan had pelabuhan Johor Bahru baru-baru ini tidak 'menyentuh' sempadan Singapura.

''Kita boleh membuat tinjauan untuk menentukan sama ada ia betul atau salah. Garisan mereka tidak tepat, kita masih berada di perairan kita sendiri, '' katanya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook juga berkata Malaysia mendapati dakwaan Singapura tidak tepat kerana had pelabuhan yang diubah untuk Pelabuhan Johor Bahru sama sekali tidak menceroboh wilayah Singapura.

Loke menarik perhatian bahawa Singapura pada tahun-tahun kebelakangan ini telah menjalankan kerja-kerja penambakan secara ektensif di kawasan yang dipertikaikan dan mengikut undang-undang trite penambakan tanah tidak memperluaskan titik pangkal dan/atau garis pangkal negara.

Mengikut undang-undang antarabangsa, perairan wilayah Singapura kekal tidak berubah walaupun kerja-kerja penambakan telah dijalankan hampir ke perbatasan luar perairan Singapura, kata beliau.

-- BERNAMA