Pihak berkuasa Singapura merampas 815 ekor burung, yang cuba diseludup masuk menerusi sebuah bas yang berdaftar di Malaysia, di Pusat Pemeriksaan Woodlands, pada Sabtu.

Dalam satu kenyataan bersama, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) serta Lembaga Taman-taman Negara Singapura (NParks) berkata, bas yang dipandu oleh lelaki warga Malaysia berumur 35 tahun itu tiba di pusat pemeriksaan berkenaan pada pukul 7 pagi.

Semasa diperiksa, pegawai-pegawai ICA mengesan tanda-tanda pengubahsuaian pada bahagian tayar belakang bas itu.

Mereka bertambah curiga apabila terdengar bunyi kicauan burung dari dalam bas berkenaan.

Selepas pemeriksaan rapi, para pegawai itu menemui 15 bekas yang mengandungi 815 burung di ruang yang diubah suai di bahagian atas tayar belakang bas, menjadikan ia rampasan terbesar burung hiasan di Singapura, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ruang di bawah bas yang dijadikan tempat meletakkan burung hiasan seludup. - Foto: Facebook Immigration & Checkpoints Authority

Oleh kerana pemandu bas itu tidak mempunyai sijil kesihatan atau permit import yang sah, beliau dirujuk kepada NParks untuk siasatan, menurut pihak berkuasa.

Kesemua 815 burung itu terdiri daripada spesis 38 White-rumped Shamas, 10 Oriental Magpie-Robins, 141 Oriental White-eyes dan 626 Munias (Scaly-breasted Munia dan White-headed Munia).

Bagaimanapun hanya kira-kira 600 ekor sahaja daripada burung itu yang didapati hidup, dan kini ia dijaga dan dikuarantin di kemudahan Nparks, katanya.

Mengimport mana-mana haiwan tanpa permit adalah satu kesalahan dibawah Akta Haiwan dan Burung, di Singapura, yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman denda maksimum S$10,000 dan/atau penjara sehingga setahun.

Sesiapa yang didapati bersalah kerana mengakibatkan kesakitan tidak sepatutnya atau penderaan kepada mana-mana haiwan, mereka boleh didenda sehingga S$15,000 dan/atau dipenjara sehingga 18 bulan jika sabit kesalahan.

Pihak berkuasa juga mengingatkan pengunjung ke negara itu supaya tidak membawa masuk haiwan hidup, burung atau serangga ke Singapura tanpa permit sewajarnya.

-- BERNAMA