Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) ingin menegaskan bahawa penutupan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih hari ini bukan berpunca daripada operasi rawatan air sisa kumbahan yang dijalankan di loji IWK, sebaliknya berlaku pembuangan sisa secara haram berdekatan dengan loji IWK.

Petugas IWK yang menerima panggilan dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) jam 8 pagi tadi telah bergegas membuat siasatan segera di Loji Olahan Air Sisa Kumbahan IWK (HLT219) Bandar Putra Mahkota bagi mengenal pasti punca bau yang dilaporkan Air Selangor.

SPAN bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan petugas IWK telah membuat pemeriksaan di loji terbabit, dan mendapati terdapat bau yang bukan bahan kumbahan di bahagian kebuk masuk loji.

Ekoran bau ini, pasukan IWK terpaksa menghentikan pelepasan efluen buat sementara waktu dan operasi pembersihan segera dilaksanakan. Pada jam 7 malam ini, tidak ada lagi sebarang bau daripada aliran air kumbahan yang masuk ke dalam kebuk masuk loji berkenaan.

Pada masa yang sama, pasukan SPAN, LUAS, Air Selangor dan petugas IWK turut memeriksa lurang pembetungan (manhole) sekitar kawasan terbabit dan mendapati bahan sisa pembuangan haram dengan bau pelarut. Kejadian ini adalah kejadian yang sama berlaku pada bulan September lepas.

Pihak IWK telah membuat laporan polis di balai polis yang berdekatan dan memohon sokongan pihak polis dan pihak berkuasa lain dalam membantu siasatan segera.

Adalah sesuatu yang mendukacitakan apabila pelbagai pihak menunding jari kepada IWK biarpun pencemaran sebenarnya berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab pembuangan secara haram. Perkara ini memberi imej negatif terhadap keupayaan syarikat menjalankan tanggungjawab merawat air kumbahan.

Untuk makluman, loji-loji rawatan kumbahan IWK tidak dapat merawat sisa haram yang masuk ke dalam loji kerana ianya hanya mampu untuk merawat sisa kumbahan sahaja.

IWK sentiasa memastikan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan di semua 7,000 buah loji dibawah selian IWK sentiasa mengikut spesifikasi dan prosedur yang telah ditetapkan pihak berkuasa.