Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) menjangka trend pembuangan sisa pepejal meningkat antara 300 hingga 400 tan di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan.

Ketua Pengarah Eksekutifnya Datuk Mohd Zain Hassan berkata makanan yang tidak dihabiskan atau diusik yang dijual di bazar-bazar Ramadan merupakan penyumbang utama, selain daripada plastik dan polistren.

Beliau berkata pembaziran makanan pada bulan Ramadan dapat dilihat dengan kenaikan 500 tan sampah dibawa ke tapak pelupusan dalam sehari, berbanding 2,500 tan sampah pada hari biasa di kawasan Kuala Lumpur.

"Ini adalah kerana Kuala Lumpur mempunyai kepadatan penduduk tinggi iaitu tiga juta. Kita mahu rakyat Malaysia ubah sikap dan budaya membeli makanan secara terlebih.

"Kita perlu mendidik orang ramai supaya menghargai makanan dan membeli ikut keperluan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan KL Bloggers Hunt 2016 Kempen 'Love Food Hate Waste', yang disertai oleh 16 penulis blog makanan di sini hari ini.

Menurut statistik, Mohd Zain berkata sebanyak 15,000 tan daripada 33,000 tan pembaziran adalah daripada sampah makanan dan 60 peratus daripada sampah makanan itu boleh dielakkan sekiranya orang awam tahu cara penyimpanan dan pembelian makanan dengan betul.

Mengenai kempen itu, Mohd Zain berkata Alam Flora buat julung kali menganjurkan 'KL Blogger Hunt' secara proaktif bagi meningkatkan keprihatinan dan mewujudkan kesedaran orang awam terhadap pembahagian dan perancangan makanan untuk isi rumah.

Katanya, segala tugasan yang dijalankan oleh blogger semasa 'hunt' sehari itu adalah sebahagian idea yang boleh diguna pakai di ruang blog mereka dalam menyebarkan mesej kepada orang awam.

"Media sosial merupakan landasan terbaik dalam menjayakan kempen ini, sekali gus mengurangkan pembaziran makanan yang memerlukan kerjasama dan peranan orang ramai menjayakan hasrat Alam Flora," katanya, sambil menambah kempen ini akan diteruskan di Pahang, tidak lama lagi.

Kumpulan blogger hari ini dibawa ke beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk menyiapkan tugasan mereka, antaranya membeli barang keperluan rumah untuk penduduk di Projek Perumahan Rakyat di Taman Mulia, Cheras.