Sistem baharu melalui platform property crowdfunding akan memberi penyelesaian kepada isu lambakan rumah tidak terjual dan memastikan orang ramai mampu memiliki kediaman sendiri.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sistem baharu itu akan melibatkan pembeli kediaman dan pelabur yang berminat.

"Mereka boleh meminjam wang daripada bank dan wang itu akan dijadikan sumbangan mereka kepada pembelian, iaitu cuma 20 peratus sahaja daripada harga rumah. Bakinya akan dibeli oleh pelabur.

"Iaitu, kita ambil beberapa hartanah dan kita akan jadikan satu jenis perniagaan, yang mana sesiapa yang ingin melabur, boleh melabur.

"Yang ini juga, separuh daripada rumah itu dibina dengan duit pemaju dan pemaju akan dapat duit semula daripada bank, tetapi bahagian rumah itu akan dimiliki oleh pelabur.

"Ini tidak bermakna (pelabur) akan masuk rumah. Cuma pemilikan setakat yang dilabur. Tetapi rumah itu digunakan oleh pembeli," katanya pada sidang media selepas melancarkan FundMyHome.com, sebuah platform inovatif baharu dibangunkan EdgeProp Sdn Bhd di sini hari ini.

FundMyHome merupakan satu skim tanpa pinjaman bank dan bayaran bulanan, yang membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah pertama mereka.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, sistem baharu dilaksanakan kerajaan itu akan dapat menangani masalah rakyat yang tidak mampu untuk membeli rumah melalui pelaburan pihak-pihak tertentu.

“Ada rumah dibangunkan, tetapi ramai tidak membeli. Hari ini ramai yang tidak mampu beli rumah walaupun mereka berminat mempunyai rumah sendiri. Bagi mereka itu, sistem ini terbuka kepada mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, kerajaan juga akan terus komited melaksanakan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, iaitu menyediakan sejuta rumah mampu milik.

“Janji kita bukan sahaja (melibatkan) kerajaan sahaja untuk membina sejuta rumah.

"Kita akan adakan sejuta rumah dalam jangka masa 10 tahun, atau mungkin lebih, atau mungkin kurang sikit, atau mungkin kurang. Namun, itu janji kita.

“Sektor swasta dibawa untuk membekalkan rumah-rumah ini.

"Yang penting, rumah yang kita buat ini mampu dibeli oleh mereka yang berpendapatan rendah," katanya.

Tambah Dr Mahathir, bukan semua rumah kos rendah dan mampu milik berkenaan akan dibina oleh kerajaan, sebaliknya, sebahagian daripadanya akan dibina oleh sektor swasta.

Melalui pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu, kerajaan akan membenarkan platform property crowdfunding yang dipacu oleh sektor swasta.

Platform itu akan menjadi sumber alternatif bagi pembelian rumah pertama yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti melalui pinjaman terbuka antara rakan setara (peer-to-peer lending).