Sistem DKK: Awas, pesalah jenayah seksual! Anda sedang diperhati - Hannah Yeoh

Sistem DKK: Awas, pesalah jenayah seksual! Anda sedang diperhati - Hannah Yeoh
Yeoh (dua dari kiri) berkata sistem ini bertujuan mempertingkatkan perlindungan dan keselamatan terhadap kanak-kanak dan mengekang atau mencegah jenayah terhadap kanak-kanak daripada terus berlaku dan berulang. -BERNAMA
PUTRAJAYA: Pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang cuba menyembunyikan kesalahan mereka kini diperhatikan menerusi Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (DKK).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Hannah Yeoh berkata bermula 1 April ini, orang ramai terutamanya ibu bapa dan organisasi yang menguruskan kanak-kanak, disaran membuat semakan terhadap pekerja atau bakal pekerja mereka bagi memastikan individu yang diambil bekerja bebas daripada rekod jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Bagi mereka yang ingin membuat semakan, ia adalah percuma dan boleh dilakukan dengan memberikan nombor kad pengenalan milik individu yang perlu disemak di mana-mana pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) peringkat negeri dan daerah.



“Di JKM Negeri, maklum balas carian akan diperoleh serta-merta. Jika dibuat di Pejabat JKM Daerah, keputusan carian akan diperoleh dalam masa lima hari.
“Jika individu berkenaan ada rekod sabitan jenayah seksual kanak-kanak, masa diperlukan untuk menyemak sama ada kes yang disabitkan di peringkat rayuan atau tidak,” katanya pada sidang media selepas pelancaran sistem semakan tersebut oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Selasa. 

Tambahnya, sistem ini bertujuan mempertingkatkan perlindungan dan keselamatan terhadap kanak-kanak dan mengekang atau mencegah jenayah terhadap kanak-kanak daripada terus berlaku.

Namun begitu, Yeoh berkata ibu bapa harus sentiasa mengambil langkah-langkah bagi melindungi anak mereka memandangkan pesalah yang tidak pernah disabitkan kesalahan di mahkamah masih berpotensi membahayakan kanak-kanak.

“Sistem ini hanya melindungi kanak-kanak daripada risiko pesalah seksual terhadap kanak-kanak yang berulang sahaja.

“Sebagai contoh, pada 2017, daripada 314 individu yang disabitkan kesalahan, 300 merupakan pesalah kali pertama dan 14 lagi merupakan pesalah berulang.

"Dan pada 2018 pula, daripada 639 individu yang disabitkan kesalahan, 605 orang merupakan pesalah pertama manakala 34 merupakan pesalah berulang. 

“Statistik sejak 2017 ini menunjukkan majoriti pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dihadapkan ke mahkamah merupakan pesalah kali pertama,” katanya.