Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Sistem e-wages, caruman Perkeso antara cadangan berkaitan pekerja asing

Sistem e-wages, caruman Perkeso antara cadangan berkaitan pekerja asing
Pengenalan sistem penggajian e-wages dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah antara cadangan yang dipertimbangkan KSM. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Pengenalan sistem penggajian e-wages dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah antara cadangan yang dipertimbangkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkaitan pekerja asing pasca pandemik COVID-19.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata sistem e-wages itu sedang dikaji dan dibincangkan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memastikan pekerja asing menerima gaji yang dijanjikan majikan.
"Ada banyak kes majikan tidak bayar gaji. Kita akan memperkenalkan sistem e-wages supaya tiada pekerja dianiaya majikan. Sekiranya majikan gagal bayar gaji, kita dapat maklumat dari sistem ini dan ini akan memberi jaminan kepada pekerja asing," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil kelulusan pengiktirafan kepada sembilan pusat pengajar pegawai keselamatan dan kesihatan di sini pada Khamis, Saravanan berkata pekerja asing juga akan dicadangkan untuk mencarum dengan Perkeso demi jaringan keselamatan.
Beliau berkata cadangan-cadangan berkaitan pekerja asing itu dibincangkan dengan wakil Kedutaan Bangladesh dalam satu pertemuan dan menurutnya, mereka puas hati dengan cadangan-cadangan yang dikemukakan.

Turut dibincangkan dengan wakil kedutaan itu ialah mengenai penguatkuasaan Akta 446 pada 1 September ini, yang bertujuan memastikan majikan membekalkan perumahan, penginapan dan kebajikan kepada pekerja asing, di mana denda sehingga RM50,000 akan dikenakan kepada majikan yang tidak patuh.

Saravanan berkata tiada pekerja asing dibenarkan masuk ke negara ini dalam masa terdekat kecuali sektor tertentu seperti perlombongan dan pembantu rumah sehingga penyelarasan pekerja asing sedia ada dilakukan.

Beliau berkata penyelarasan itu perlu kerana pekerja asing yang memiliki permit juga mungkin akan kehilangan pekerjaan susulan kelembapan ekonomi.

-- BERNAMA