Sistem kereta kabel baharu yang dicadangkan di Bukit Bendera akan menjadi tarikan pelancong ikonik tambahan bagi negeri yang boleh membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, menurut Perbadanan Bukit Bendera (PHC).

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, PHC menyatakan walaupun peruntukan untuk sistem kereta kabel baharu itu telah dicadangkan, projek berkenaan masih akan tertakluk kepada kajian kemungkinan teknikal yang menyeluruh dan memerlukan kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkenaan.

"Pengunjung akan dapat menikmati pemandangan dari atas Bukit Bendera (dengan sistem kereta kabel baharu)," menurutnya.

Kereta kabel itu akan menjadi akses alternatif ke Bukit Bendera, jelasnya dan menambah bahawa perkhidmatan keretapi funikular sedia ada mencatatkan 1.74 juta penumpang tahun lepas.

Menurut perbadanan itu, proses tender kajian kemungkinan sedang dijalankan sebelum kajian kebolehlaksanaan teknikal yang lengkap dapat dijalankan, dan PHC akan memastikan projek itu dijalankan dengan baik mengikut keperluan teknikal.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada Jumaat, berkata kerajaan akan menyumbang RM100 juta kepada pembinaan sistem kereta kabel baharu, dengan kos tambahan akan ditanggung kerajaan negeri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Taman Tema Escape Pulau Pinang Sim Choo Kheng berkata insentif cukai untuk sektor kesenian dan pelancongan merupakan berita baik yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama oleh pemain industri.

Beliau berkata insentif itu menggambarkan pengiktirafan mereka sebagai penyumbang kepada kemajuan industri pelancongan dan akan menggalakkan lebih banyak lagi penganjuran pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa.

"Ini kali pertama kerajaan memberi pengiktirafan kepada kami pengendali taman tema yang menyumbang kepada industri pelancongan dan menganggap kami sebagai pemain industri yang penting dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

Bagaimanapun, Sim berharap kerajaan membuat semakan terlebih dahulu sebelum memberi pengecualian cukai kepada pihak tertentu kerana bimbang ada pihak yang mahu mengambil kesempatan.

"Belanjawan ini untuk menggalakkan dan memberi pengiktirafan kepada aktiviti pelancongan. Ini mesti memberi manfaat kepada penganjur dan pelabur taman tema yang betul-betul menarik pelancong ke negara ini," katanya.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan mencadangkan insentif cukai untuk sektor kesenian dan pelancongan, termasuk pengecualian cukai pendapatan kepada penganjur aktiviti kesenian dan kebudayaan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang diluluskan dan penganjur persidangan.

-- BERNAMA