Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengumumkan proses permintaan untuk cadangan (RFP) bagi projek pembinaan perkhidmatan tram sepanjang 53 kilometer yang bakal menghubungkan Putrajaya, Cyberjaya, Kajang dan Bangi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, sistem itu, yang pertama seumpamanya di negara ini, akan diintegrasikan dengan pengangkutan awam yang lain seperti Transit Aliran Massa (MRT), dan juga Landasan Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura.

Katanya lagi, SPAD telah pun menjalankan kajian kebolehlaksanaan sebelum ini, dan mendapati sistem tram adalah lebih bersih, efisyen, serta menjimatkan kos dari segi pembinaan (capex).

“Dari segi kos pembinaan, ia adalah 50 peratus lebih murah berbanding sistem monorail, manakala untuk kos operasi pula, ia akan menjimatkan sekitar 30 hingga 40 peratus. Tambahan pula ianya mesra alam sekitar,” katanya dalam satu taklimat media mengenai Laporan Prestasi Pengangkutan Awam Darat 2017, di sini hari ini.

Mohd Azharuddin berkata, RFP itu akan diumumkan dalam masa tiga hingga empat bulan lagi.