Siti Nurhaliza, Adibah, Nora Danish, Alif Satar jadi penyampai berita Astro AWANI

Siti Nurhaliza, Adibah, Nora Danish, Alif Satar jadi penyampai berita Astro AWANI
Pastikan temu janji anda bersama Astro AWANI yang akan bersiaran bermula malam Isnin (April 8) pukul 8.15 malam. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Dalam setiap komuniti, ada sahaja pelbagai cerita kemanusiaan.

Kisah bagaimana amalan saling membantu dalam kejiranan anda, ceritera guru mendidik anak-anak muridnya sehinggalah nilai-nilai murni seorang pemimpin masyarakat membantu menyelesaikan isu masyarakat.

Tanpa anda sedari, amalan-amalan murni ini memberikan impak yang besar dalam komuniti masing-masing.

Justeru, kami mahu mengajak anda semua berkongsi kisah kemanusiaan di Saluran 501 Astro AWANI dan platform Digital Astro AWANI (www.astroawani.com).
Komuniti AWANI akan mendasari segenap nadi denyut orang ramai dengan memberi peluang kepada anda di segenap pelosok negara bercerita apa sahaja yang berlaku dalam persekitaran anda.



Kami mahu cerita anda didengari oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira apa latar belakang anda.

Astro AWANI mahu mencetuskan budaya saling mengambil berat tentang segala kebaikan yang anda lakukan terhadap komuniti anda.

Hal-hal yang baik harus dikongsi dengan semua orang kerana melalui kebaikan yang kita lakukan, hidup kita akan menjadi lebih bermakna.


Apa yang menariknya, kisah-kisah yang anda kongsi dengan kami akan disampaikan oleh artis-artis ternama tanah air dalam program Komuniti AWANI.

Adibah Noor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar, Nora Danish, Alif Satar dan beberapa artis tersohor tanah air akan menghebahkan kisah kemanusiaan ini dalam slot, Komuniti AWANI.

Pastikan temu janji anda bersama Astro AWANI yang akan bersiaran bermula malam Isnin (April 8) pukul 8.15 malam dan di laman VOD Komuniti AWANI.