Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff membenarkan C Sivarraajh hadir persidangan Dewan Rakyat.

Jelasnya, Sivarraajh masih Ahli Parlimen Cameron Highlands kerana telah membuat rayuan di mahkamah.

“Di bawah seksyen 36B, Mahkamah Persekutuan hendaklah mendengar dan membuat keputusan dalam masa enam bulan. Apabila proses rayuan selesai, Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan perakuan sama ada mengesahkan atau mengubah keputusan Mahkamah Pilihan Raya.

“Hanya setelah menerima perakuan daripada Mahkamah, Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengeluarkan notis untuk Pilihan Raya Kecil dalam tempoh masa 30 hari dari penerimaan tersebut. Selagi tidak menerima perakuan, Suruhanjaya Pilihan Raya tidak akan mengisytiharkan kekosongan kerusi,” katanya di Dewan Rakyat.

Justeru, Ahli Parlimen Cameron Highlands layak untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat kerana perkara itu bukan merupakan kekosongan luar jangka yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan kepada Suruhanjaya tetapi adalah kekosongan yang disebabkan oleh perintah Mahkamah Pilihan Raya.

Oleh yang demikian, kuasa adalah pada Mahkamah untuk memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Mahkamah Pilihan Raya tidak akan mengeluarkan perakuan sekiranya rayuan difailkan dalam tempoh 14 hari. Dalam hal ini, memandangkan Yang Berhormat Cameron Highlands telah menyatakan hasratnya untuk mengemukakan rayuan, perakuan tidak akan dikeluarkan oleh Mahkamah Pilihan Raya dan akan dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan selepas proses rayuan selesai.

“Oleh kerana Suruhanjaya Pilihan Raya hanya akan mengisytiharkan sesuatu kerusi sebagai kosong selepas menerima perakuan daripada mahkamah, maka sehingga proses rayuan selesai Yang Berhormat Cameron Highlands masih dianggap sebagai seorang Ahli Parlimen,” ujarnya.