Selepas 11 hari operasi mencari peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Rabu memutuskan untuk mengecilkan skala pencarian.

Pasukan penyelamat telah melakukan pencarian di semua laluan Gopeng Ultra Trail dalam usaha mengesan Mohamad Ashraf yang hilang sejak 23 Mac lalu.

Ketua Zon 1 JBPM Perak Penguasa Kanan Bomba I Mohd Khairul Jamil berkata, selain trek larian 25, 50 dan 100 kilometer, operasi pencarian turut meliputi 24 kilometer persegi di luar laluan trek dan 6 kilometer persegi laluan balak di Hutan Simpan Bukit Kinta yang berhampiran trek 100 kilometer.

“Kita akan mengecilkan skala pencarian, yang mana pencarian akan diteruskan, pegawai kami akan standby di sini.

“Sekiranya ada maklumat-maklumat terbaru, kita akan bertindak mengikut maklumat yang kita dapati,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Bomba di Kampung Pintu Padang di sini, pada Rabu.

BACA: Peserta Gopeng Ultra Trail dikhuatiri hilang sejak Sabtu

Menurutnya, operasi pencarian pada Rabu ditumpukan di sekitar Gua Tempurung, termasuk kawasan di dalam gua berkenaan.

Sementara itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan, misalnya menawarkan pelbagai ganjaran.

BACA: Sukarelawan diminta tangguh hasrat bantu cari Mohammad Ashraf

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Yahya Abd Rahman berkata, sekiranya ada tawaran seumpama itu, orang ramai boleh terus merujuk kepada pihak polis.

“Dalam kes orang hilang ini, ada juga yang pernah berlaku, tiba-tiba orang telefon waris mangsa, katanya ada maklumat, minta duit. Jadi, jangan percaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, setakat ini kes kehilangan Mohamad Ashraf, 29 tahun, tiada sebarang unsur jenayah.