Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas tuduhan terbabit menguruskan rumah pelacuran di sebuah hotel di sini, susulan pembongkaran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah yang berjaya menemukan wang tunai RM14.9 juta pada 24 November lalu.

Pengakuan tidak bersalah oleh Tay Tian Chuan, 45 tahun, dan Tay Leong Hee, 52 tahun, itu dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim.

Hakim kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin tempatan, pasport ditahan selain diminta melaporkan diri setiap bulan di JIM Sabah.

Tarikh pengurusan kes itu akan ditetapkan pada 10 Januari tahun hadapan di mahkamah sama.

Kedua-dua tertuduh terdahulu diwakili oleh peguam bela Chaw Chin Tang dan Adrian Cham Chee Kong manakala pendakwa raya JIM Sabah diwakili oleh Fazril Sani Mohd Fadzil.

Mengikut fakta pertuduhan, kedua-dua mereka disyaki menguruskan rumah pelacuran di tingkat dua sebuah hotel di bandar ini dalam serbuan JIM Sabah pada jam 8.44 malam, 23 November lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 373 (1)(a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Dalam serbuan di sebuah hotel dan pangsapuri di Jalan Api-Api 24 November lalu, JIM Sabah menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri dipercayai dalang sindiket pelacuran selain menangkap 17 wanita warga Filipina yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral menerusi operasi Op Gegar kira-kira jam 1 pagi.

BACA: Skandal RM14.9 juta: Rampasan wang pelacuran terbesar JIM

Wang tunai bernilai RM14.9 juta turut ditemukan ketika serbuan berkenaan.

Berdasarkan siasatan awal, hotel yang diserbu itu beroperasi sejak tahun 1999 lagi.

Sementara wang tunai yang dirampas, mempunyai tarikh cetakan tahun 2008.