Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendesak supaya kerajaan tidak memansuhkan skim pencen yang menjadi keistimewaan kepada penjawat awam di negara ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, skim itu perlu dilihat sebagai bentuk sumbangan kepada pesara yang telah lama berkhidmat di dalam kerajaan khususnya bagi membantu ekonomi mereka.

“Kita menaruh harapan yang tinggi supaya kerajaan tidak melihat pemberian pencen sebagai satu bentuk perniagaan kerana terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk dibayar kepada pesara.

“Sedangkan kos itu dapat ditampung melalui sumber-sumber lain dalam kerajaan dan jumlah RM30 bilion itu tidaklah terlampau tinggi jika dinilai dalam pelbagai aspek.

“Jadi Cuepacs berharap agar keputusan yang dilihat terburu-buru oleh kerajaan untuk memansuhkan pencen tidak diteruskan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Azih berkata, kerajaan juga diminta untuk tidak lagi melaksanakan lantikan secara kontrak bagi penjawat awam sebaliknya ia perlu dilantik secara tetap.

“Kami di pihak Cuepacs juga merayu agar tiada lagi lantikan kontrak (untuk penjawat awam) kerana keadaan ini sangat menyukarkan kakitangan kerajaan khususnya dalam membuat pinjaman perumahan, kereta dan sebagainya.

“Bayangkan jika lantikan kontrak itu dibuat dalam tempoh dua atau tiga tahun, pihak kewangan atau bank mana yang sanggup untuk memberikan pinjaman dan keadaan itu pastinya membuatkan mereka (kakitangan kerajaan) terus berada dalam dilema,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Skim pencen bebanan besar negara: Dr Mahathir

Azih berkata, kerajaan juga diminta untuk melibatkan Cuepacs dalam sebarang perbincangan melibatkan penjawat awam kerana mereka lebih tahu apa yang berlaku dalam kalangan kakitangan kerajaan itu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam dilaporkan berkata, kerajaan akan mencari jalan terbaik bagi memastikan penjawat awam tidak tertindas susulan cadangan menghentikan skim pencen kakitangan awam.

Katanya, dengan jumlah penjawat awam yang semakin ramai dan jumlah gaji yang lebih tinggi kerajaan bimbang tidak mampu lagi menampung beban bagi bayaran pencen penjawat awam.

Kerajaan akan mencari jalan terbaik bagi memastikan penjawat awam tidak tertindas susulan cadangan menghentikan skim pencen kakitangan awam.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah berkata, mulai tahun hadapan lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.

Menurutnya, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembaharuan Perkhidmatan Awam pada Oktober 2018 mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.