Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjangka kes jenayah buli siber akan meningkat jika filem-filem berunsur ganas dalam internet tidak disekat.

Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian, Pemantauan Media Baharu, Pematuhan dan Advokasi SKMM Dr Mazlan Ismail berkata dalam zaman internet ini, pelbagai jenis filem boleh ditonton dalam laman web.

Menurutnya, filem-filem keganasan ini akan mempengaruhi pemikiran anak-anak muda dan menyebabkan jenayah buli dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat dari tahun ke tahun.

"Kita tidak mempunyai kuasa untuk menyekat semua laman web tersebut namun meminta rakyat Malaysia sedar tanggungjawab masing-masing membasmi jenayah yang semakin meruncing itu," katanya di sini pada Ahad.

Tambahnya, kewujudan laman web yang tidak menghadkan umur itu menyebabkan usaha Lembaga Penapisan Filem (LPF) menapis adegan ganas untuk mengekang keganasan dilihat tidak berhasil.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye hari ini yang memberitahu sekurang-kurangnya satu dari dua belia mengakui telah mengalami pembulian siber di Malaysia berdasarkan kajian Stop Cyberbullying 2017 di bawah program Digi CyberSAFE.

Lee berkata, berdasarkan statistik CyberSecurity Malaysia pula, buli siber dalam kalangan pelajar berlaku hampir setiap hari dengan 250 kes dilaporkan pada tahun 2012 manakala pada tahun 2013 terdapat 389 kes; 2014 (291 kes); 2015 (256 kes) dan 2016 (338 kes).

Katanya, SKMM telah melancarkan pelbagai usaha untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keselamatan penggunaan internet khususnya pengguna muda.

Terdahulu, Mazlan menghadiri Majlis Berbuka Puasa Jelajah Ramadan Klik Dengan Bijak (KDB) 2017 bersama Penghuni Pusat Jagaan Kasih Abadi dan Rumah Warga Emas Darul Hanan di sini.

Mazlan berkata SKMM melalui Jelajah Ramadan KDB 2017 telah menganjurkan program sama di tiga negeri lain - Selangor, Negeri Sembilan dan Perak yang turut memuatkan pengisian program Cyber Grooming dan perkongsian etika dan tips keselamatan di internet serta penggunaannya yang positif.

-- BERNAMA