Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memutuskan untuk menyekat laman-laman sesawang yang mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai untuk turut serta ke Perhimpunan Bersih 4.0.

Hal ini kerana perbuatan itu dipercayai boleh mengganggu-gugat kestabilan negara, lanjutan dari kenyataan media oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kenyataan tersebut menyatakan bahawa BERSIH 4.0 juga didapati telah:

1. Bergiat secara tidak sah dan mencetuskan suasana gelisah serta membangkitkan kebimbangan orang ramai khususnya rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan keturunan.

2. Menyebarkan propaganda untuk menghasut rakyat bagi tujuan negatif terhadap Kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu yang boleh mendatangkan keburukan.

3. Menerusi pelbagai kegiatannya telah memberi kesan buruk kepada imej Negara, bahkan boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan Negara, malahan menjejaskan keharmonian hidup masyarakat majmuk di Malaysia.

MCMC ingin memperingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat di laman-laman sesawang dan media sosial, terutamanya kandungan yang boleh menyalahi mana-mana undang-undang Malaysia.

Sebarang maklumat mengenai mana-mana laman sesawang dan media sosial yang dipercayai menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan kestabilan negara, ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi boleh dimajukan kepada pihak MCMC di [email protected] (http://aduan.skmm.gov.my).