Skop Productions bakal mengambil tindakan keras kepada mana-mana individu yang mengedarkan atau memuat naik filem “KL Gangster 2” secara haram.

Filem terbaru arahan Syamsul Yusof itu bocor di Internet dipercayai sejak Rabu malam sebelum ditayangkan di pawagam mulai 3 Oktober ini.

Syamsul sudah pun membuat laporan polis dan bapanya, Datuk Yusof Haslam bakal mengadakan sidang media tergempar.

Penjelasan itu akan dilakukan di Pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ulu Klang pada pukul 3 petang esok.

Filem yang menelan belanja kos RM4.5 juta bakal menjadi filem termahal terbitan Skop Productions setakat ini.

Sebelum ini, Yusof teruja apabila jumlah tontonan sedutan filem itu hampir mencecah satu juta 'hits'.

Dia membayangkan "KL Gangster 2" bakal mencipta satu lagi rekod selepas filem pertamanya meraih hampir RM12 juta pada 2011.

Filem ini dibintangi oleh Aaron Aziz, Adi Putra, Rosyam Nor dan Zizan Razak.

Sementara itu, Pengarah filem tersebut Syamsul Yusof turut menzahirkan perasaan kecewanya dalam Twitter kerana karyanya itu telah dimuat naik secara haram di Internet.



Selain itu, selebriti, pengarah filem, penulis dan blogger turut menyokong usaha Syamsul Yusof dan menolak tindakan orang yang tidak bertanggungjawab yang telah mengedar dan memuat turun filem 'KL Gangster 2'.





Malah, ramai pengguna Twitter tidak segan-silu mendedahkan bahawa mereka juga ada menonton filem “KL Gangster 2” yang dimuat naik secara haram di Internet semalam.




Selain itu juga, ramai juga yang masih menyokong untuk tidak menonton filem tersebut melalui muat naik yang tidak sah dan tetap menanti tayangan perdana filem itu di pawagam-pawagam pada Oktober nanti.