Sekolah Menengah Kebangsaan TTDI Jaya memperkenalkan inisiatif tersendiri dalam meningkatkan prestasi dan memperkasa kompetensi pelajar walaupun berstatus sekolah harian.

Pencapaian Sijil Peperiksaan Malaysia 2017 (SPM2017) turut menunjukkan peningkatan positif apabila pencapaian sekolah tersebut melonjak lapan tangga ke tangga ke-11 berbanding tahun 2016 pada daerah Petaling Perdana.

Menurut Guru Kanan Mata Pelajaran Kemanusiaan Tingkatan 5, Hazlina Mansor, pelbagai program yang dirancang di sekolahnya bukan khusus untuk pelajar cemerlang malah kepada murid sederhana dan lemah untuk melakar kejayaan cemerlang.

Tambahnya, program yang diperkenalkan seumpama Inspiring Success dan T'Jian adalah untuk pelajar cemerlang manakala program PLUS, Kem Skor A dan Pecutan A disediakan untuk pelajar sederhana dan lemah.

Menariknya, sekolah itu juga aktif menggunakan media sosial bagi membantu pengajaran dan pembelajaran.

Kolaborasi bersama Dr Nurhasmiza Abu Hasan Sazalli dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur, Facebook Live dan Skype digunakan untuk berkomunikasi menaikkan motivasi pelajar sekolah.

Pengetua SMK TTDI Jaya Azahar Nor Arifin menegaskan, sekolah itu akan menggunakan sistem e-kehadiran iaitu pelajar hanya memberikan thumb print bagi membuktikan kehadiran mereka ke sekolah buat tahun ini.

Bukan itu sahaja, sekolah itu turut menggunakan papan pintar dan Telegram Boadcasting yang membolehkan ibu bapa pelajar mengetahui perkara yang dipelajari oleh anak-anak mereka.

Bagi memudahkan masyarakat setempat melaporkan sebarang kes yang melibatkan pelajar sekolah Talian Hotline Pengetua supaya aduan dapat dilakukan dengan pantas.


* Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers UTM

** Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

*** AwaniRangers UTM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Teknologi Malaysia.