Solat berjemaah, Jumaat: Hanya rakyat Malaysia dibenarkan - Ismail Sabri

Ismail Sabri berkata kebenaran itu diberikan jika mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan sosial. - Foto BERNAMA
Hanya rakyat Malaysia dibenarkan untuk mendirikan solat berjemaah dan Jumaat di masjid-masjid yang diberi kebenaran untuk dibuka semula.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, setakat ini warga asing masih belum dibenarkan disebabkan jumlah penularan COVID-19 yang tinggi dalam kalangan kumpulan itu.
"Selain itu, tentunya keutamaan kepada rakyat Malaysia. Kalau mereka (warga asing) memenuhi masjid sampai tidak ada tempat untuk warga kita, tidak boleh.
"Jadi setakat ini, hanya untuk warganegara Malaysia dan tidak kepada warga lain," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Ahad.
Beliau berkata kebenaran itu diberikan jika mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan sosial.
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19, sudah 11 minggu majoriti umat Islam tidak dapat menunaikan solat berjemaah dan fardu Jumaat seperti biasa di surau atau masjid.
Larangan mendirikan solat berjemaah di surau dan Jumaat itu termasuk dalam senarai larangan berhimpun secara beramai-ramai seperti termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

