Tutup

Songket tenun asli dicuri, peniaga rugi sekitar RM1.5 juta

Songket tenun asli dicuri, peniaga rugi sekitar RM1.5 juta
Penjual songket ini menanggung rugi akibat kejadian pecah masuk. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga songket mendakwa kerugian kira-kira RM1.5 juta selepas pelbagai jenis songket asli Terengganu hasil tenunan tangan dilarikan pencuri.

Kejadian berlaku di Pasar Besar Kedai Payang selepas stor simpanan stok di Bazar Warisan dipecah masuk.

Penyelia kedai songket, Siti Rabiatul Tajulnisa Muhd Tajuddin berkata kegiatan pencuri warga asing itu terbongkar setelah pemilik kedai songket berkenaan menahan suspek yang sedang membawa guni.

Katanya, di dalam dua guni tersebut dipercayai mengandungi kain songket yang di curinya kira-kira jam 8.30 malam Rabu.
“Pekerjaan ni dia buat sejak tiga minggu. Semalam (Rabu) dia hantar (duit) ke Myanmar. Ada slip dengan nombor akaun dia, ada lima atau enam slip bernilai RM4,000 lebih, RM6,000 lebih dan RM8,000 lebih. Itu (hasil daripada songket) yang dia jual. Yang dia ambil semalam, baru nak jual dua guni songket,” ujar Siti Rabiatul.

Antara barang yang hilang adalah lebih 500 helai songket asli berharga RM1,800 sehelai dengan nilaian keseluruhan hampir RM1 juta, ratusan kain pelikat bernilai RM72,000 dan pelbagai jenis barang cenderahati.
Menurutnya lagi, kedainya di Bazar Warisan ditutup sejak enam bulan lalu selepas bangunan itu dibaik pulih bermula 28 Oktober tahun lepas .

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian .

Jelasnya, kumpulan berkenaan dipercayai melakukan aktiviti berkenaan sejak tiga minggu lalu sebelum seorang daripadanya berjaya ditahan selepas memecah masuk premis berkenaan pada Rabu.

Usaha mengesan rakan sejenayah suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah kedai.


Tag: peniaga songket, songket dicuri, pasar besar, kedai payang, bazar warisan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.