Satu garis panduan prosedur standard operasi (SOP) akan diwujudkan bagi mengendalikan kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman berkata, pembentukan Jawatankuasa Kerja Bagi Menyediakan SOP ini penting sebagai langkah susulan penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak.

Katanya, garis panduan khas ini bagi memastikan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak diselesaikan dengan lebih teratur dan efisien.

"Harapan daripada kerajaan ialah untuk membuatkan perlindungan kepada kanak-kanak dalam semua aspek sama ada di peringkat laporan, pergi ke mahkamah, kemudian selepas di mahkamah dan seterusnya.

"Setakat ini untuk kepastian daripada jawatankuasa, pada pandangan saya perlu ada pindaan kepada Akta Keterangan Kanak-kanak 2007 tapi disebabkan jawatankuasa ini diwujudkan, biarlah mereka yang terlibat itu dapat mencadangkan pindaan.

"Kita nak menambahbaik, contohnya dalam Akta Keterangan Kanak-kanak 2007, kita kena kaji semula sebab sekarang ini tahun 2017 banyak kecanggihan teknologi berbanding semasa akta itu diwujudkan pada 2007, teknologi tak sehebat sekarang," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini hari ini.

Tambahnya, sejak tiga bulan lalu, 84 peratus daripada 303 kes yang difailkan sudah diselesaikan membuktikan penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak satu tindakan bijak dalam menyelesaikan kes-kes berkaitan jenayah berkenaan.

"Dulu bila kes kanak-kanak ini dibuat dalam mahkamah jenayah biasa banyak penangguhan dan memerlukan masa yang lama.

"Mangsa berkenaan pun daripada kanak kanak kadang sudah jadi dewasa.

"Jadi dengan adanya mahkamah jenayah khas ini, Ketua Hakim Negara telah memberikan arahan untuk kes diselesaikan dalam tempoh 12 bulan dan ini merupakan berita baik untuk pengendalian kes sebegini," katanya.