Akta berkaitan keselamatan negara serta hukuman mati seperti Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu ada bagi menjamin keselamatan negara.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ada keperluan untuk mengkaji semula akta tersebut supaya tidak melanggar hak asasi manusia.

"Saya berpendapat, semua akta ini yang telah dibawa ke Parlimen dan lulus berdasarkan Perlembagaan amat penting. Tanpa POTA dan SOSMA, saya tak boleh jamin negara selamat.

"Tapi kita kena meneliti akta ini semula supaya tidak ada elemen yang menindas dan ini bertentangan dengan hak asasi manusia atau yang didakwa sebelum ini sebagai akta zalim," katanya dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang bertanya apakah keberkesanan dan berapa yang ditahan di bawah akta tersebut.

Menteri itu berkata, Jawatankuasa Khas dan Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-Undang Berkaitan Keselamatan telah ditubuhkan untuk meneliti secara lebih terperinci setiap peruntukan dalam undang-undang berkenaan.

Beliau menjangkakan pindaan peruntukan akta tersebut selewat-lewatnya dapat dibentangkan di Parlimen pada bulan Mac tahun depan.

"Sekarang sudah sampai ke peringkat akhir kita sudah sediakan draf dan kemukakan kepada Jabatan Peguam Negara. Apabila selesai, kita akan bawa ke jemaah menteri dan selepas itu ke Parlimen."

Sebelum ini Muhyiddin berkata, sebanyak enam akta kontroversi tersebut iaitu Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Muhyiddin berkata, antara peruntukan dalam akta tersebut yang dikaji jawatankuasa ialah berhubung tempoh penahanan yang terlalu panjang dan kuasa polis yang terlalu luas.