Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata ia akan memastikan tindakan tegas dan segera akan diambil ke atas seorang pemandu bas yang didakwa mengasari seorang penumpang semasa dalam perjalanan dari Melaka ke Pulau Pinang, Isnin lepas.

SPAD berkata ia memandang serius perkara itu dan telah berhubung dengan penumpang berkenaan untuk merekodkan kenyataan dan menggesa mangsa untuk membuat laporan polis berikutan insiden itu.

"Susulan itu, penumpang berkenaan telah membuat laporan polis pada 28 Jan di Balai Polis Melaka Tengah.

SPAD akan terus memberikan PDRM (Polis Diraja Malaysia) bantuan dan maklumat yang diperlukan mengenai pemandu dan syarikat bas untuk memastikan tindakan yang tegas dan pantas akan diambil ke atas pemandu tidak bertanggungjawab ke atas tindakannya yang tidak boleh diterima," suruhanjaya itu berkata dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rakaman video selama satu minit yang memaparkan seorang pemandu bas ekspres mengasari seorang penumpang lelaki telah tersebar di media sosial. Pemandu itu dikatakan naik angin apabila penumpang itu didapati tidur di kerusi yang dikhaskan untuk pemandu.

"Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat merasa kesal bahawa penumpang berkenaan terpaksa melalui pengalaman yang mengganggu perasaan semasa perjalanannya," katanya.

SPAD menasihatkan orang awam yang merasai pengalaman yang sama supaya segera melaporkan kepada suruhanjaya itu di [email protected] atau menghubungi talian hotline 1-800-88-7723 bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

"Dengan maklumat yang tepat, kami boleh memastikan pemandu yang tidak bertanggungjawab akan segera dikenal pasti dan diambil tindakan," katanya.

Kenyataan itu berkata untuk tindakan berkesan diambil, SPAD memerlukan pengadu untuk memberikan butiran mereka seperti nama penuh dan nombor telefon, nombor pendaftaran kenderaan, lokasi dan juga masa serta tarikh insiden.

"Bukti tambahan dalam bentuk seperti rakaman audio atau video, atau butir saksi akan meningkatkan lagi keupayaan kami untuk mengambil tindakan ke atas pemandu yang tidak bertanggungjawab itu," katanya.

Suruhanjaya itu juga mengingatkan syarikat bas supaya memantau dengan rapi dan mendisiplinkan pemandu bas mereka bagi memastikan perkhidmatan bermutu dan bersopan diberikan kepada penumpang sepanjang masa.