Sebahagian besar daripada agensi yang diwujudkan pentadbiran kerajaan pusat sebelum ini akan dinilai semula dan dibubarkan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang akan dibubarkan dan tugasnya dikembalikan ke Kementerian Pengangkutan.

Langkah ini diambil kerana, katanya, pentadbiran beliau ingin memastikan agensi atau jabatan yang tidak relevan tidak akan membebankan kerajaan semasa.

"Badan-badan seperti Majlis Profesor Negara (MPN) akan dibubarkan.

"Selain itu, agensi seperti JASA juga akan dibubarkan," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet yang pertama di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.



Ditanya mengenai status projek-projek di bawah pemerintahan kerajaan sebelum ini, Dr Mahathir berkata, kerajaan masih lagi meneliti dan menilai projek-projek berkenaan.

"Kita sedang menilai projek mana yang harus ditamatkan, mana yang perlu diteruskan dan mana yang boleh ditangguhkan," tambahnya.

Sementara itu, berhubung usaha mengecilkan saiz kakitangan awam di negara ini bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan, Dr Mahathir berkata kerajaan akan menghentikan pelantikan pegawai kontrak lantikan politik sebelum menggaji semula mereka yang penting dan bergaji rendah.

Katanya, pegawai dan kakitangan lantikan politik sebenarnya tidak diperlukan tetapi semata-mata untuk memberi peluang kepada penyokong-penyokong kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, kira-kira 17,000 pegawai kontrak merupakan lantikan politik dan ada antara mereka telah menjadi kakitangan tetap.

"Mereka yang berpendapatan rendah, kami akan mengambil mereka namun mula-mula kami akan memberhentikan mereka," katanya, sambil memberi jaminan bahawa mereka yang bergaji rendah tidak akan menjadi mangsa.

Mengenai pelantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dr Mahathir berkata ia adalah kerana beliau "amat sesuai".

"Kita telah lantik Shukri sebab dia berpengalaman bahkan dia terlibat dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi dia diberhentikan kerana pihak kerajaan pada masa itu tidak suka pada kerja-kerja yang dilakukannya.

"Kita tahu perkara ini, sebab itu kita berpendapat dia adalah orang amat sesuai menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM," katanya.