Tutup

Spageti, sandwich, air kosong boleh jadi menu PSP - Pakar

Spageti, sandwich, air kosong boleh jadi menu PSP - Pakar
Makanan berkenaan yang berasaskan karbohidrat kompleks adalah amat penting dalam membekalkan tenaga kepada murid. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Spageti, roti sandwich dan oat merupakan antara makanan ringkas, mudah serta berkhasiat yang mungkin boleh dimasukkan dalam menu Program Sarapan Percuma (PSP) untuk murid sekolah rendah di seluruh negara bermula tahun hadapan.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Makanan dan Dietetik Universiti Teknologi Mara Dr Norazmir Md Nor berkata makanan berkenaan yang berasaskan karbohidrat kompleks adalah amat penting dalam membekalkan tenaga kepada murid khususnya pada awal pagi bagi membolehkan mereka memberi tumpuan di dalam bilik darjah.

"Menu itu boleh disediakan dalam konsep 'Grab and Go' di mana murid hanya perlu mengambil makanan berkenaan di satu-satu tempat seperti di kantin dan boleh memakannya sama ada di kelas atau di kantin.
"Sebab kita tak nak leceh, kena gunakan pinggan, berkuah, kena guna sudu garfu dan akan mengambil masa sebab murid sekolah rendah ini aktif dan suka bergerak ke sana ke mari untuk bermain sedangkan kita hanya ada waktu yang terhad," katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa PSP akan dilaksanakan bermula tahun hadapan bertujuan memberikan makanan berkhasiat mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran.

Menjelas lanjut, beliau berkata spageti misalnya, walaupun jarang dijadikan sebagai menu sarapan namun ia lebih sihat kerana hanya menggunakan minyak yang sedikit berbanding mi goreng yang antara lain turut menggunakan bermacam-macam bahan perasa.
Di samping itu, makanan seperti 'energy bar', kekacang, buah-buahan serta roti yang disapu dengan coklat dan kaya serta salad sayuran juga mungkin boleh diselitkan dalam menu sarapan berkenaan, kata beliau.

Bagi air pula, beliau mencadangkan agar hanya air kosong disediakan kepada murid bagi mendidik mereka sejak kecil lagi agar mengurangkan pengambilan gula.

Sementara itu, Norazmir berkata menu makanan bagi murid yang memulakan sesi persekolahan pada sesi petang pula konsepnya juga sama cuma ia mungkin lebih berasaskan kepada makanan ruji rakyat Malaysia iaitu nasi seperti nasi ayam.

Beliau bagaimanapun turut meminta agar pengusaha kantin kelak akan menyediakan pemakanan yang seimbang, pelbagai dan dalam kuantiti sederhana, selaras dengan Panduan Diet Malaysia 2010.

-- BERNAMA

Tag: program sarapan percuma, psp, murid sekolah, spageti, sandwich, menu psp, pengajian makanan, khasiat makanan, norazmir md nor


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.