Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) diarahkan membuat siasatan terhadap insiden tiga paip utama yang pecah di tapak West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping di sini pada Sabtu lepas.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata siasatan itu bertujuan untuk melihat punca sebenar kejadian berkenaan boleh berlaku dan ia juga bagi mengelakkan insiden sama berulang.

"Esok atau lusa pula saya akan minta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMGM) untuk membantu siasatan dan meninjau lokasi paip pecah itu dengan menumpukan kepada aspek pergerakan tanah.

SPAN sudah mulakan siasatan itu dan kita kena tunggu sehingga siasatan itu selesai untuk melihat apakah tindakan yang boleh diambil untuk mengelakkan insiden sama berulang," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi paip pecah itu di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut katanya, SPAN juga mempunyai kuasa untuk membuat siasatan membabitkan jabatan lain seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pemaju projek WCE itu.

Beliau turut berterima kasih kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan kontraktor kerana bertungkus lumus membaik pulih paip berkenaan sejak tiga hari lepas bagi membolehkan bekalan air dapat dipulihkan segera.

Xavier turut meminta Air Selangor memantau pengagihan semula bekalan air mulai malam ini kepada penduduk terjejas dan memaklumkan segera kepadanya jika berlaku sebarang kejadian lain dalam tempoh 12 jam supaya tindakan segera dapat dilaksanakan.

Insiden tiga paip utama pecah sejak Sabtu lepas menyebabkan hampir 800,000 pengguna di 65 kawasan di Klang terjejas.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memaklumkan bahawa gangguan bekalan air di kawasan terlibat akan pulih secara berperingkat mulai malam ini.

-- BERNAMA