Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat kerosakan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) sehingga menyebabkan jutaan pengguna di Lembah Kelang, minggu lalu berdepan dengan gangguan bekalan air.

Sehubungan dengan siasatan itu, Pengerusi SPAN, Datuk Liang Teck Meng berkata Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) diberi tempoh hingga 23 Mac ini untuk mengemukakan laporan audit berhubung kerosakan loji itu.

Sebelum menjalankan siasatan, SPAN perlu mendapatkan audit berkenaan terlebih dahulu daripada pihak Splash.

Selepas itu, siasatan lanjut dilaksanakan bagi merungkai punca kejadian berkenaan sehingga menjejaskan bekalan air di Lembah Klang.

“Kita telah memutuskan untuk menubuhkan satu jawatan kuasa khas siasatan kejadian paip pecah di Loji Rawatan Air Sungai Selangor 3.

“SPAN telahpun menulis surat kepada pihak Splash dan sedang menunggu pihak Splash untuk mengemukakan laporan mereka. Seterusnya kita akan menjalankan siasatan di pihak SPAN dan itu adalah mengenai satu jawatan kuasa khas,” ujar Teck Meng.

Usah tuding jari

Pada sidang akhbar itu, Teck Meng meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk tidak menuding jari dan terus menyalahkan Kerajaan Persekutuan dan SPAN berhubung gangguan bekalan air, baru-baru ini.

Katanya, SPAN sejak Januari lalu telah mengenal pasti bahawa berlakunya penurunan paras di LRA SSP3 dan mengarahkan Splash untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan.

“Dalam peristiwa LRA SSP3 ini sebenarnya, ingin saya maklumkan bahawa pada penghujung bulan Januari 2018, SPAN telah mengenal pasti bahawa LRA SSP3 telah mengalami kekurangan kadar pengeluaran air terawat – iaitu dari pengeluaran purata 2017 sebanyak 820 juta liter sehari (MLD) kepada 795 MLD.

“Justeru, SPAN telah mengadakan satu lawatan tapak ke LRA SSP3 pada 5 Februari 2018 dan kita menjalankan audit ke atas sistem pam di situ. Pada 15 Februari, pihak SPAN telah menulis surat kepada Splash supaya menyegerakan kerja-kerja selenggaraan pam yang rosak susulan lawatan tapak.

“Jadi adalah tidak benar sekali bahawa SPAN tidak menjalankan tugas dan ada juga suara yang mengatakan ada unsur sabotaj daripada pihak agensi Kerajaan Persekutuan. Itu juga tidak benar sekali kerana jangan kita mempolitikkan perkara ini,” tegas beliau.

Langkah proaktif

Terdahulu Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Selangor tidak patut dipersalahkan atas krisis gangguan air di sekitar Lembah Klang sejak selasa lalu kerana pihaknya sedang mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah itu.

Tambah Mohamed Azmin, punca krisis air itu berpunca daripada insiden paip pecah semasa proses penyelenggaraan dijalankan di bawah seliaan Splash yang masih di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Beliau turut menolak dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Kerajaan Selangor tidak pandai menguruskan masalah air.

Sebelum ini, gangguan bekalan air telah menjejaskan banyak kawasan di sekitar Lembah Klang sejak Selasa minggu lalu dan berlarutan sehingga ke hujung minggu.

Antara kawasan terjejas adalah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.