Astro Malaysia telah melaksanakan satu pertandingan, iaitu Spark Space, dalam usaha mentransformasikan perniagaannya ke arah tumpuan digital.

Ia adalah platform yang khusus untuk mencungkil potensi dan memberi peluang kepada pekerja Astro untuk berinovasi dan berkreatif.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Datuk Rohana Rozhan berkata sudah tiba masanya untuk syarikat media gergasi itu untuk mengadaptasi dengan dunia digital supaya kekal relevan.

Suasana ketika berlangsungnya Pertandingan Spark Space peringkat akhir. - Astro AWANI

"Spark Space adalah inisiatif yang kami ambil untuk menggalakkan pekerja kami untuk berinovasi, mencipta, mencipta semula dan juga menjadi usahawan.

"Kami memberitahu mereka bahawa mereka juga boleh menjadi seorang usahawan dan pertandingan ini dibuka kepada semua staf.

"Tidak kira jika idea yang dihasilkan ada berkaitan dengan Astro atau pelanggan Astro ataupun idea yang berkait dengan pengguna," kata Datuk Rohana ketika ditemui selepas acara Pertandingan Spark Space Peringkat Akhir bagi pembentangan pic di Bukit Jalil pada Khamis.

Pertandingan yang julung kali diadakan tahun ini menyaksikan 70 idea yang telah dibentang, dan hanya lapan kumpulan yang terpilih sebagai finalis.

Dalam acara pembentangan pic pada Khamis, empat juri dari pelbagai bidang telah mengambil bahagian, iaitu Pengurus Amazon Web Services bahagian Asia Pasifik, Eric Tachibana; Pesuruhjaya Tertinggi British ke Malaysia, Vicki Treadell; Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan dan Timbalan Presiden Produk Digital dan Penerbitan Astro, Ridhuan Sidek.

Henry Tan (paling kanan) dan Vicki Treadell (dua dari kanan)  juga terlibat sebagai juri. - Astro AWANI

Bagi Pesuruhjaya Tertinggi British ke Malaysia Vicki Treadell, beliau tidak menafikan semangat dan potensi tinggi yang dimiliki oleh peserta-peserta yang membentangkan idea mereka.

"Kita boleh lihat secara jelas semangat mereka dari pic yang dibentangkan. Setiap ahli kumpulan yang bercakap mengenai idea mereka mempunyai penuh emosi tentang produk mereka.

"Jika melihat kesemua yang terlibat hari ini, secara tidak langsung, saya turut mempersoalkan bagaimana saya boleh memperbaiki dan meningkatkan inovasi sebagai Pesuruhjaya Tertinggi untuk meningkatkan lagi hubungan dengan Malaysia," kata Vicki.

Kelapan-lapan kumpulan finalis yang telah disenarai pendek juga sebelum ini telah didedahkan dengan peluang untuk menyertai kem latihan dan sesi mentor selama tiga hari sebagai persediaan untuk pembentangan pic mereka.

Tiga pemenang pertandingan pada kali ini bakal menerima tempoh inkubator selama 5 minggu bagi menguji dan mengembangkan lagi idea mereka dengan kaedah pecutan idea oleh Amazon Web Services.