Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) sekiranya benar mereka yang memberi undi bagi membolehkan Speaker daripada Pakatan Harapan (PH) dilantik pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata ini kerana proses pemilihan tersebut adalah secara rahsia iaitu melalui undian atas kertas yang dimasukkan ke dalam kotak sebelum dikira satu persatu oleh Setiausaha DUN negeri.

"Jadi kami tidak boleh nyatakan siapa daripada kalangan pembangkang yang beri tiga undi lebihan bagi membenarkan calon Speaker daripada PH dilantik hari ini...silap-silap mungkin daripada PAS? Tapi kalau benar begitu (ADUN BN undi), saya ucap terima kasih kepada mereka (ADUN BN)," katanya.

Pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama sidang DUN Kedah hari ini, Datuk Ahmad Kasim dilantik menjadi Speaker DUN apabila memperoleh 21 undi menewaskan Pesuruhjaya PAS negeri Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi yang memperoleh 15 undi.

ADUN Ayer Hangat Juhari Bulat pula dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN.

Pelantikan Speaker DUN Kedah sebelum ini berhadapan masalah apabila kedudukan kerusi di kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang adalah sama, iaitu 18 kerusi sehingga menimbulkan isu pilihan raya negeri bagi menyelesaikan kemelut itu.

Tiga ADUN BN berkenaan Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Datuk Norsabrina Mohd Noor (Bandar Baharu) dan Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang) mengesahkan menyokong pelantikan Speaker DUN Kedah selepas mendapat restu daripada kepimpinan UMNO negeri dan pusat.

Bagaimanapun, sokongan itu tidak bermakna mereka menyertai PH tetapi tetap setia bersama UMNO demi kepentingan rakyat di negeri ini dan memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Mukhriz dalam pada itu turut mengakui ada melakukan sedikit rundingan sebelum ini bersama ketiga-tiga ADUN BN itu berhubung soal pelantikan Speaker.

Sementara itu, menteri besar turut mengesahkan mengenai rombakan portfolio exco negeri bagi diselaraskan dengan kementerian persekutuan memandangkan perdana menteri sudah mengumumkan senarai kabinet yang terbaharu.

"Perkara ini supaya tidak berlaku keadaan di mana satu jawatankuasa kementerian itu menjemput wakil negeri dan kita terpaksa hantar lebih daripada seorang exco," katanya.

Berhubung kekosongan kerusi exco apabila Datuk Amiruddin Hamzah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan, katanya beliau memerlukan sedikit lagi masa kerana perlu menyembah maklum kepada Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mengenai perkara itu.

-- BERNAMA