Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2018 adalah lebih baik berbanding tahun 2017.

Mengumumkan analisis keputusan SPM 2018 di sini hari ini, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata pencapaian itu berikutan Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2018 yang mencatatkan 4.89 berbanding 4.90 pada 2017.

Selain itu, sebanyak 58.9 peratus (230,465) calon lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran.

Daripada jumlah itu, 8,436 atau 2.2% calon mendapat semua A (A+, A dan A-) bagi semua bagi semua mata pelajaran.

“Manakala, 19.0% atau (74,360 calon) mendapat sekurang-kurangnya gred C untuk semua mata pelajaran, dan 37.7% atau (147,669 calon) lulus sekurang-kurangnya gred E untuk semua mata pelajaran,” katanya pada majlis yang diadakan di Kementerian Pendidikan.

Pada masa sama, katanya, 1.12 peratus calon gagal semua mata pelajaran.

“Namun, kena ingat calon SPM ini juga adalah kalangan calon persendirian selain calon di sekolah kerajaan dan sebagainya,” ujar Amin.

Seramai 421,706 calon menduduki SPM pada 2018.

Daripada jumlah itu seramai 362,754 merupakan calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan; sekolah di bawah agensi kerajaan (9,427); sekolah menengah agama negeri (8,160); sekolah menengah agama rakyat (2,059); sekolah swasta (14,001); dan calon persendirian (25,305).

Calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing selepas 10 pagi, manakala calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri.

KPM berkata calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2018 melalui mySMS 15888.

Katanya perkhidmatan itu akan diaktifkan bermula 10 pagi pada 14 Mac dan akan ditamatkan pada 6 petang 20 Mac. Keputusan juga boleh disemak melalui laman sesawang Lembaga Peperiksaan di sppat.moe.gov.my/semakan.