Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melakukan pelbagai penambahbaikan dalam pilihan raya bagi menyediakan kemudahan kepada pengundi, selain meningkatkan ketelusan proses pengundian.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata penambahbaikan boleh dilihat di dalam 10 Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu termasuk PRK Parlimen Kimanis.

Katanya, ia termasuk penambahbaikan dari segi pemilihan mata pen yang lebih besar sehinggalah kepada siaran proses pengundian secara langsung atau 'live streaming' menerusi Facebook SPR.

“Selain itu, SPR juga ada menambah jumlah saluran untuk memberi kesenangan dan mengurangkan masa menunggu mengundi.

“Kemudian kita juga telah memberikan fasiliti yang lebih baik kepada orang-orang kurang upaya, di mana kita sediakan ram, buggy, dan kerusi roda untuk kesenangan pengundi,” katanya selepas meninjau persiapan hari pengundian bagi PRK Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, di sini, pada Jumaat.

Selain itu, pihaknya turut menyediakan bilik kelas bagi mengelakkan pengundi-pengundi beratur panjang sebelum masuk ke saluran mengundi masing-masing.

Dalam pada itu, Azhar ketika diminta mengulas mengenai PRK Kimanis berkata, penyokong dan jentera parti terlibat diseru memberhentikan kempen mereka pada pukul 12 malam ini setelah tamat waktu berkempen.

“Saya harap tidak ada pondok panas atau orang yang memakai baju berlogo parti dan gambar calon dalam jarak 100 meter dari pusat mengundi.

“Saya menyeru juga penyokong agar tidak berhimpun di tepi jalan dan melakukan provokasi antara satu sama lain,” katanya.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin.

Keputusan PRK Kimanis dijangka diumum selewat-lewatnya pada pukul 10 malam, pada Sabtu.