Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini hadir ke pejabat beberapa pemimpin kerajaan Pulau Pinang termasuk Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P Ramasamy di Tingkat 52, Komtar, di sini.

Dua pasukan terdiri daripada 7 pegawai SPRM memasuki pejabat berkenaan pada jam 9.40 pagi dan 10 pagi.

Kehadiran pegawai SPRM itu dipercayai berkaitan siasatan terbaharu projek terowong dasar laut di negeri itu.

Tingkat 52 menempatkan pejabat Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri 11, Prof Dr P. Ramasamy, Exco negeri Zairil Khir Johari dan Yeoh Soon Hin.

Bagaimanapun Ramasamy memaklumkan pegawai SPRM yang berada hampir 4 jam di pejabatnya hanya bertemu dengan kakitangannya sahaja.

Menurutnya, pegawai SPRM hanya menemubual dan bertanyakan mengenai beberapa dokumen kepada pembantu peribadinya serta seorang lagi kakitangannya.

Ditanya berkenaan siasatan, beliau berkata tidak mengetahui ia berkaitan kes apa namun tidak menolak kemungkinan ia berhubung projek mega di negeri itu.

"Dia (SPRM) bertanyakan soalan kepada PA (pembantu peribadi) saya dan dia tanya pada PA contoh jadual, kakitangan dan jadual. Dia tidak tanya apa-apa pada saya. Saya tidak tahu apa agenda merka. Cuma mungkin SOP mereka datang sini ambil gambar pejabat. Tengok senarai kakitangan kita, tanya soalan pada dua pegawai," katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya pada Jumaat.

Katanya lagi, pegawai SPRM turut masuk ke pejabat Zairil Khir Johari namun difahamkan Zairil tidak berada di pejabatnya.

Ramasamy berkata, sebelum ini, beliau pernah dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes terowong dasar laut pada 2018, namun ia terhenti.

Pada Rabu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow memaklumkan kerajaan negeri telah menerima surat daripada SPRM untuk menemu bual beberapa Exco dan pemimpin negeri berhubung isu terowong dasar laut itu.

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew Gim Eam direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes SPRM.

Difahamkan penahanan Chew adalah berkaitan siasatan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.