SPRM masih belum terima laporan dakwaan RM230 juta - Dzulkifli

SPRM masih belum terima laporan dakwaan RM230 juta - Dzulkifli
Dzulkifli berkata SPRM tidak akan membuka sebarang kertas siasatan sehinggalah laporan rasmi mengenai perkara itu diterima pihaknya. -Gambar fail
GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum menerima laporan berhubung dakwaan  kononnya timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai RM230 juta di dalam akaun banknya pada tahun 1996.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata sehubungan itu pihaknya tidak akan membuka sebarang kertas siasatan sehinggalah laporan rasmi mengenai perkara itu diterima pihaknya.

Menurut Dzulkifli, buat masa ini, dakwaan yang dibuat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap TPM Ahmad Zahid itu disifatkan sebagai cerita yang tidak mempunyai asas kukuh.
Bagaimanapun, menurut Dzulkifli, pihaknya akan mengkaji terlebih dahulu sekiranya menerima laporan daripada mana-mana pihak berhubung perkara tersebut sebelum tindakan selanjutnya diambil pihaknya.

“Itu hanya cerita; tidak ada sesuatu yang concrete. MACC tidak boleh bertindak berdasarkan cerita; kita ada bertindak sekiranya ada laporan dibuat dan kemudian kita tengok laporan itu berasas atau tidak,” kata Dzulkifli.

Dzulkifli berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Pertama Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), di sini, pada Sabtu.

Selasa lalu, Tun Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu membangkitkan isu pengisytiharan harta yang dibuat TPM Ahmad Zahid ketika dilantik sebagai Ketua Pemuda Umno, termasuk pemilikan RM230 juta dalam akaun banknya pada tahun 1996.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak mempunyai bukti hitam putih mengenai perkara itu.