Arahan pertukaran ke atas dua pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohamad Zin dan Datuk Rohaizad Yaakob minggu lalu mengundang laporan awam terhadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Laporan dibuat beberapa individu kepada SPRM, mendakwa arahan pertukaran itu sebagai satu bentuk gangguan kepada siasatan agensi tersebut.

Ia susulan kebimbangan mereka berhubung tindakan ke atas Bahri, Pengarah Operasi Khas, dan Rohaizat, Pengarah Komunikasi Strategik.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Mustafar Ali mengesahkan menerima laporan itu, dan akan merujuknya ke jabatan perundangan untuk tindakan lanjut.

"Ada laporan dibuat, tetapi bukan dari pegawai saya," kata Mustafar kepada Malaysian Insider pada Khamis.

Beberapa jam sebelum pengesahan tersebut, Mustafar menafikan laporan MalaysiaKini bahawa pegawai-pegawai SPRM ada membuat laporan terhadap Ali Hamsa dan Mohamad Zabidi mengikut Seksyen 48 Akta SPRM 2009.

Mustafar ketika mengulas laporan portal berkenaan di bawah tajuk "MACC files reports against chief sec, PSD head on transfers, menyifatkan laporan itu sebagai tidak berasas.

"Selain tidak berasas sama sekali, SPRM berpandangan laporan seumpama ini bermotif melaga-lagakan hubungan baik antara agensi-agensi awam dan kepimpinan perkhidmatan awam Malaysia," kata Mustafar dalam satu kenyataan pada Khamis.

SPRM juga katanya, berharap pihak media harus bertanggungjawab dan tidak menyiarkan laporan-laporan yang memetik sumber yang tidak sah.

MalaysiaKini dipetik sebagai berkata, beberapa pegawai SPRM didakwa telah membuat laporan terhadap Ali Hamsa dan Mohamad Zabidi berhubung perpindahan Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Rohaizad Yaakob, sambil memetik sumber yang dirahsiakan.

"Terdapat beberapa laporan yang difailkan di bawah Seksyen 48 Akta SPRM 2009," menurut sumber berkenaan.

Seksyen 48 Akta SPRM adalah berkaitan kesalahan menghalang siasatan.

Susulan bantahan keras daripada pelbagai pihak, perpindahan dua pegawai kanannya itu ke Jabatan Perdana Menteri pada Jumaat lalu, dibatalkan.