SPRM panggil 4 saksi bantu siasatan dakwaan Pas terima RM90 juta

SPRM panggil 4 saksi bantu siasatan dakwaan Pas terima RM90 juta
Gambar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya. Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil empat saksi esok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan wang berjumlah RM90 juta yang dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Pas.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Bahagian Operasi, Datuk Seri Azam Baki berkata keempat-empat saksi itu terdiri daripada ahli politik dan individu dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, SPRM kini juga sedang mendapatkan beberapa dokumen daripada bank.

“Buat masa ini, kami sudah mulakan siasatan dan sedang mendapatkan dokumen daripada bank untuk diteliti selain sudah berhubung dengan lebih kurang empat orang saksi untuk membantu siasatan.
“Kebanyakan akan dipanggil esok di pelbagai tempat, melibatkan negeri dan beberapa lokasi lain,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan portal Sarawak Report pada Ogos 2017 yang mendakwa dana berjumlah RM90 juta dipercayai dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik sokongan mereka terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kemudiannya memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di London pada 21 April 2017.

Walaubagaimanapun, minggu lalu dilaporkan Ahli Parlimen Marang itu bersetuju memuktamadkan penyelesaian dengan Rewcastle-Brown.

“Kes ini baru dibuka selepas kami dapat tahu mengenainya dalam tempoh perayaan Tahun Baharu Cina. Oleh yang demikian, beri kami masa untuk menjalankan siasatan. Tidak ada sebarang maklumat lengkap yang kami terima melainkan daripada orang ramai yang mahu kami melakukan siasatan.

“Maklumat yang diberikan kepada kami pun hanya berdasarkan laporan akhbar. Apabila hendak memulakan siasatan, kami perlu mempunyai maklumat yang lengkap terlebih dahulu agar siasatan lebih berkesan,” katanya.

Beliau turut memberitahu SPRM kini sedang berusaha mendapatkan dokumen berhubung perbicaraan di London.


Tag: sprm, 90 juta, pas, Abdul Hadi Awang, Azam Baki, Sarawak Report, Rewcastle-Brown, umno, Najib Razak


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.