Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan agar semua penjawat awam mengisytiharkan aset setahun sekali bagi membendung sebarang salah laku rasuah.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Mohamad Jamidan Abdullah, tiba masanya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menilai semula tempoh pengisytiharan aset agar dilakukan lebih kerap, berbanding amalan pengisytiharan aset penjawat awam setiap lima tahun sekarang.

"Semua penjawat awam harus mengisytiharkan harta mereka. Setiap lima tahun mereka perlu isytihar sekali lagi agar dapat lihat sama ada harta benda mereka bertambah atau tidak.


"Mungkin Jabatan Perkhidmatan Awam perlu menilai semula sama ada penjawat awam perlu mengisytihar harta mereka setiap tahun," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Program Certified Integrity Officer (Ceio) Sektor Swasta di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata pengisytiharan harta secara terbuka boleh mengundang risiko terhadap individu terbabit serta keluarga terdekat.

Ia susulan gesaan supaya beliau dan Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz mengisytihar aset mereka.

Sementara itu, mengulas dakwaan bahawa SPRM hanya memburu 'ikan bilis' dan melepaskan jerung, ujarnya SPRM menyiasat berdasarkan bukti kukuh.

"Kami tidak boleh memilih sama ada ikan bilis atau sebagainya jadi kami akan menyiasat semuanya tetapi kami memerlukan bukti kukuh untuk mana-mana kes," katanya.

Pada 15 Ogos lalu, seorang pegawai kanan DBKL ditahan SPRM susulan operasi membanteras rasuah secara besar-besaran.

Dua lagi penjawat awam juga ditangkap dalam operasi yang melibatkan rasuah wang tunai dan aset bernilai jutaan ringgit.