Seramai 50 individu termasuk seorang yang berpangkat Datuk dipanggil untuk siasatan berhubung penyelewengan bantuan ubah suai rumah mangsa banjir di negeri itu.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan ‎Rasuah (SPRM) negeri Datuk Abd Aziz Aban berkata, penyelewengan berkenaan melibatkan bantuan ubah suai 411 rumah mangsa di Tanah merah.

“Sebahagian dari 411 isi rumah yang mendapat bantuan merasakan bahawa bentuk bantuan tersebut tidak sama dengan nilai yang dianugerahkan.

“Kita juga turut menyiasat enam kontraktor dan sembilan sub-kontraktor berkaitan agihan bajet RM880,000 dalam fasa akhir dan setakat ini kita telah panggil 50 orang dan pihak lain juga,” katanya.


Katanya peruntukan untuk baik pulih rumah berkenaan ialah RM880,000 namun hanya RM550,000 digunakan manakala selebihnya dipercayai diserahkan kepada pihak ketiga.

Aduan oleh mangsa banjir terbabit dibuat setelah mereka tidak berpuas hati dengan bentuk pembaikan dengan nilai yang diperuntukkan.

Ekoran penyelewengan itu, SPRM turut menyita wang sebanyak RM225,000 dalam satu akaun serta RM100,000 wang tunai daripada pihak ketiga.

Abd Aziz berkata, seorang lelaki berusia 52 tahun ditahan pada 4 Mac lalu bagi membantu siasatan mengikut Sekksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Katanya pihak SPRM akan menjalankan siasatan lanjut dan akan memanggil beberapa orang lagi individu termasuk yang bergelar Datuk.

SPRM mula membuka siasatan berhubung penyelewengan bantuan banjir ini Febuari lalu setelah menerima aduan dari orang awam dan mangsa banjir.