Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd selepas ia mempunyai asas untuk berbuat demikian.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dalam kenyataan ringkas memaklumkan, setelah semakan dijalankan, pihaknya mendapati isu ini menepati dan mempunyai asas untuk SPRM menjalankan siasatan mengikut Akta SPRM 2009.

Sehubungan itu SPRM akan menjalankan siasatan dengan bebas dan profesional secara menyeluruh.

Sementara itu seorang jurucakap SPRM ketika dihubungi Astro AWANI berkata, siasatan melibatkan wang yang dipinjamkan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd bernilai kira-kira RM4 bilion.

SRC International Sdn Bhd adalah syarikat milik Kementerian Kewangan.

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat sebelum ini mengesahkan sebahagian daripada wang pinjaman itu telah dilaburkan dalam aset yang berkaitan sumber alam asli di luar negara termasuk Indonesia dan Monglia.

Di dalam laporannya hari ini, Wall Street Journal (WSJ) hari ini mendakwa SRC International sebagai syarikat yang menyalurkan wang ke dalam beberapa akaun peribadi milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Laporan itu memetik dokumen yang kononnya diperoleh daripada siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

WSJ melaporkan, dokumen menunjukkan hampir AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi milik kerajaan dan kemudiannya ke akaun peribadi perdana menteri dalam beberapa deposit berasingan.

Sarawak Report pula dalam laporannya hari ini mendakwa, RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib daripada SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan.

Susulan laporan-laporan berkenaan, 1MDB telah membuat penafian yang ia pernah menyalurkan dana ke akaun milik Najib.

"Merujuk kepada laporan media yang diterbitkan awal hari ini, 1MDB ingin memperjelaskan bahawa syarikat ini tidak pernah menyalurkan dana kepada perdana menteri," katanya dalam satu kenyataan itu.