Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang bekas pegawai kanan di sebuah bahagian di Jabatan Perdana Menteri kerana disyaki terlibat dalam salah guna wang dana milik Kerajaan Malaysia bagi peruntukan Pilihan Raya Umum ke-14.

Menurut laporan, suspek wanita yang berusia 61 tahun yang bergelar Datuk ditahan pada pukul 4.15 petang tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir untuk memberi keterangan.

Kata sumber berkenaan, siasatan awal mendapati wanita tersebut terlibat bersama-sama tujuh lagi pegawai kanan yang direman hari ini kerana telah menyalahgunakan wang peruntukan tersebut bagi tujuan peribadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Astro AWANI, mengesahkan tangkapan tersebut.

“Saya mengesahkan penahanan beliau. Beliau ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya lewat petang ini,” katanya.

Katanya suspek tersebut akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.