Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat perdagangan antarabangsa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai telah menyalahgunakan jawatannya dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 daripada kontraktor yang dilantik syarikat tersebut menerusi beberapa transaksi.

Suspek berusia 40 tahun itu yang ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira jam 4 petang itu difahamkan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok.

Menurut sumber, suspek dipercayai telah melakukan kesalahan tersebut antara Februari hingga Jun 2015 di beberapa lokasi di Johor Bharu.

Difahamkan suspek yang pernah dituduh sebelum ini oleh SPRM akan dituduh sekali lagi mengikut seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Sebelum ini, pada 8 Mac 2016, suspek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Johor Bahru terhadap 115 pertuduhan kerana mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM101.64 juta begi pembelian produk resin plastik antara Disember 2014 dan Mei 2015.

Jika didapati bersalah suspek boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.