Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu, termasuk Pengarah Imigresen Perak kerana terlibat dalam perbuatan rasuah hari ini.

Keempat-empat suspek ditahan antara jam 12 pagi hingga 5.30 pagi di beberapa lokasi di Perak.

Pengarah berusia 57 tahun itu ditahan bersama dua ahli perniagaan masing-masing berusia 30 tahun dan seorang mekanik berusia 26 tahun.

Mereka dipercayai terlibat dalam memberi dan menerima rasuah daripada pengusaha pusat hiburan dan rumah urut yang beroperasi di Perak.

Kesemua mereka telah direman selama lima hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Nooraziah Abd Manaf ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.