Tiga Pegawai Penguatkuasa Agama Islam Daerah (PAID) di Selangor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor pada Rabu bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah bernilai RM600.

Menurut sumber, ketiga-tiga pegawai PAID yang berusia antara 32 tahun hingga 37 tahun tersebut telah ditahan di Pejabat SPRM Negeri Selangor antara pukul 6 petang hingga 6.10 petang.

Jelas sumber, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek berkenaan telah meminta dan menerima suapan sebanyak RM600 daripada orang awam sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan bagi kesalahan kes khalwat di daerah tersebut.

Tambah sumber, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kesemua suspek di Mahkamah Majistret Klang pagi esok (Khamis).

Kata sumber lagi, kesemua suspek tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.