Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menerima satu aduan mengenai salah guna kuasa berkaitan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Tanpa mendedahkan penglibatan mana-mana individu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, aduan itu akan diteliti dahulu sebelum siasatan lanjut diteruskan.

"Saya mengesahkan SPRM ada menerima aduan daripada pengadu berhubung dengan isu ECRL untuk disiasat. Bagaimanapun, pihak saya (SPRM) akan meneliti dahulu aduan berkenaan.

"Pihak saya (SPRM) tidak boleh mendedahkan mana-mana pihak yang diadukan dalam kes ini kerana siasatan belum dimulakan," katanya kepada Bernama TV hari ini.

Sementara itu, menurut sumber yang diperoleh Bernama TV, aduan itu antara lain meminta SPRM menyiasat kenaikan kos projek ECRL yang didakwa hanya RM30 bilion kepada RM44 bilion.

Sumber itu yang merujuk satu laporan media berkata projek ECRL telah dibatalkan pada Januari 2019, namun, pada April 2019, bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berjaya meyakinkan kerajaan untuk meneruskan ECRL dengan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) dengan kos RM44 bilion menerusi Pakej Pelan Baru ECRL.

Sumber itu mendakwa, pelan baharu ECRL hanya menelan kos RM30 bilion setelah beberapa perkara dikurangkan antaranya pembatalan lima stesen di laluan Gombak - Klang.

"Ini bermaksud pelan baharu ECRL lebih mahal RM14 bilion disebabkan pengurangan perkara-perkara berkenaan," katanya.

Projek ECRL disambung semula setelah perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan CCCC dimeterai pada 12 April 2019 yang menyaksikan pengurangan kos projek sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion.

Berikutan itu, projek rel itu akan dibina dengan jajaran baharu dan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer (km), iaitu sejauh 648 km berbanding rancangan awal sejauh 688 km.

Jajaran baharu itu ialah dari Kota Baharu - Mentakab - Jelebu - Kuala Kelawang - Bangi/Kajang -Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang. Cadangan asal projek ECRL itu menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan. - BERNAMA