Datuk Seri Najib Tun Razak diperintah membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan menyeleweng sejumlah RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengumumkan keputusan itu pada pukul 11.34 pagi.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Perdana Menteri itu bagi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan semua kesalahan itu antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.

Selepas pertuduhan dibaca, Ketua Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta mahkamah berehat selama kira-kira 30 minit.

Muhammad Shafee meminta sedikit masa untuk menerangkan kepada Najib pilihan yang ada untuk membela diri.

Seorang petugas membawa kotak fail dokumen untuk perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin. - Gambar BERNAMA

Pilihan itu adalah memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi yang mana beliau tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan; keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh (memberi keterangan dari kandang tertuduh); dan pilihan terakhir adalah berdiam diri.

Keterangan dari tempat duduk saksi akan lebih meyakinkan mahkamah berbanding dua pilihan lagi.

Jika tertuduh memilih untuk berdiam diri, mahkamah tiada pilihan melainkan mensabitkan tertuduh.

Perbicaraan keputusan kes SRC yang bermula pada pukul 11 pagi selepas kes 1MDB berehat sebentar untuk memberi peluang kes ini pula berjalan.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu yang mengambil masa selama 58 hari di peringkat kes pendakwaan disifatkan antara yang paling singkat berlangsung.

Prosiding yang mendapat perhatian seluruh dunia itu bermula pada 3 April lalu dengan mendengar keterangan saksi pertama iaitu Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah.

Ia berakhir dengan keterangan Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain, selepas disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim.