JT International Bhd (JTI Malaysia) hari ini mengumumkan harga rokok bagi semua jenama yang diedarkannya di Malaysia akan meningkat susulan penguatkuasaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September.

“Pengenalan cukai jualan pada 10 peratus bagi produk tembakau di Malaysia akan bermakna peningkatan bagi semua jenama rokok kami, dengan mengambil kira perbezaan kadar kenaikan daripada kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilevikan ke atas rokok,” kata Pengarah Urusan JTI Malaysia, Cormac O’Rourke dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata harga rokok tidak disemak semula selepas GST berkadar sifar pada Jun 2018 susulan arahan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan.

O’Rourke berkata syarikat itu kecewa kerajaan tidak kembali semula kepada cukai jualan lima peratus yang dikenakan daripada sebelum pengenalan GST dan menambah peningkatan harga ini akan memberi kesan negatif dalam merapatkan jurang harga antara rokok yang dijual secara sah dan haram.

“Kami percaya ini akan memburukkan lagi situasi penjualan rokok haram yang telahpun berada pada tahap kritikal 58 peratus dan akan menyebabkan lebih ramai pengguna beralih kepada rokok haram yang lebih murah.

“Oleh itu, kami menggesa kerajaan meningkatkan usaha penguatkuasaan dalam menangani situasi penjualan rokok haram,” katanya