Peniaga yang tidak mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengutip Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak akan dikenakan sebarang tindakan buat masa ini.

Bagaimanapun Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata peniaga yang lewat mendaftar masih perlu melunaskan pembayaran SST bermula dari 1 September ini.

"Mereka (peniaga) yang tidak dikenakan SST, tetapi selepas itu mereka mendaftar, ini bermakna mereka telah salah daftar.

"Itu tidak jadi masalah kerana mereka boleh keluarkan daripada pendaftaran dan kita telah berikan kelonggaran sepenuhnya. Jadi ini tidak jadi masalah.

"Kedua, kes di mana mereka terlambat daftar, kita tidak bercadang untuk kenakan penalti tetapi jangan lupa, anda (peniaga) kena bayar SST. Anda kena keluarkan wang daripada kocek sendiri kerana jika hendak caj pelanggan sudah terlewat," ujarnya ketika ditemui media di Parlimen hari ini.

Jelasnya, pihak kementerian melalui JKDM memberikan kelonggaran kepada peniaga yang mempunyai alasan yang kukuh selain ingin mewujudkan pendekatan yang berhemah kepada peniaga.

"Tentu ada pihak yang menyatakan bahawa kalau tidak mendaftar sebelum 1 September, mereka akan dikenakan tindakan. Tidak, kita akan berikan kelonggaran.

"Kalau benar-benar ada sebab kita akan berikan kelonggaran. Tapi jangan cuba ambil kesempatan dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan supaya elak daripada didaftar.

"Kita nak gunakan pendekatan yang lembut dan berhemah selain kita menganggap semua peniaga adalah rakan kongsi. Marilah kita sama-sama satu hati, satu jiwa untuk pastikan cukai yang mereka patut bayar dapat dibayar kepada negara supaya negara dapat membangun secara sihat," tambahnya lagi.

Bagaimanapun, beliau tidak menetapkan sebarang jangka masa kelonggaran itu diberikan kepada peniaga untuk membuat pendaftaran.

Mengikut rekod, dianggarkan 60,000 peniaga telah membuat pendaftaran SST yang bakal dilaksanakan pada 1 September ini.

Selain itu, Kementerian Kewangan melalui JKDM kini bergiat aktif melaksanakan pelbagai program siri penerangan kepada semua pihak yang terlibat terutama para peniaga.