Tindakan menyerbu ibu pejabat MalaysiaKini dan The Star oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan polis baru-baru ini adalah berdasarkan laporan yang diterima pihak berkuasa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said berkata SKMM hanya bertindak atas permintaan polis agar membantu siasatan berkenaan.

"Pada saya memang laporan telah dilakukan. Polis ambil tindakan untuk menyiasat perkara tersebut dan minta kerjasama SKMM dan pada saya sebarang laporan yang ada seharusnya tindakan harus diambil dan apa telah dilakukan polis dan SKMM adalah untuk menyiasat perkara tersebut," katanya ketika ditemui selepas pelancaran aplikasi mudah alih dan program baharu GOASEAN di ibu negara.

Bagaimanapun, Salleh Said tidak mendedahkan siapa yang membuat laporan berkenaan.

Pihak polis dan SKMM menyerbu ibu pejabat The Star dan MalaysiaKini, masing-masing pada Isnin dan Jumaat lepas, susulan laporan mereka berkenaan dakwaan pemindahan seorang pegawai pendakwaraya dari bahagian operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Individu dikatakan adalah sebahagian daripada kumpulan penyiasat yang sedang menyiasat SRC International, anak syarikat Kementerian Kewangan.