Isu Malaysia yang bakal mencapai status negara tua menjelang 2030 mendapat perhatian beberapa senator Dewan Negara ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 hari ini.

Senator Asmak Husin yang membangkitkan perkara itu ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat berkolaborasi dengan pusat ibadat untuk memperbanyak Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bagi menyediakan pelbagai aktiviti khusus kepada golongan itu.

"Ataupun menubuhkan rakan PAWE yang bersifat mesra warga emas... Kalau ada rakan PAWE, maka kita akan mempunyai banyak pusat warga emas yang dapat menampung keperluan mereka," katanya.

Mengikut unjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Malaysia akan mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk.

Senator Dr Ahmad Azam Hamzah pula menyarankan kerajaan agar mengadakan program kesihatan secara berterusan kerana terdapat perubahan dalam pola penyakit berkaitan gaya hidup rakyat dan populasi menua.

"Ia juga kerana perbelanjaan kesihatan awam (oleh kerajaan) bagi (rawatan) penyakit kronik amat tinggi," katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA